Sejak kekalahan UMNO dalam pilihan raya umum pada bulan Mac 2008, ramai orang mengatakan bahawa UMNO tidak lagi relevan dan akan pupus daripada senario politik negara ini. Ada juga yang berpendapat UMNO memerlukan penjenamaan semula demi untuk memenangi semula hati pengundi di negara ini.
Persoalannya adakah penjenamaan semula UMNO itu perlu dilakukan? Apakah UMNO telah nazak dan tidak lagi mempunyai kekuatan suatu masa dahulu? Apakah yang menjadi punca kemerosotan populariti UMNO? Adakah ia disebabkan isu nasional , isu tempatan atau isu setempat? Adakah ia disebabkan oleh rakyat telah menolak corak kepemimpinan UMNO yang sedia ada ? Adakah benar mereka begitu benci kepada UMNO atau benci kepada pemimpin yang memegang tampuk pemerintahan sama ada di peringkat kebangsaan, negeri atau pemimpin di peringkat bahagian /parlimen?
Ini merupakan antara persoalan yang perlu kita fikirkan dalam usaha kita menawan semula Kuala Kedah daripada Pakatan Rakyat. UMNO perlukan perubahan untuk menarik semula pengundi khususnya golongan muda. Kita hilang sokongan mereka yang selama ini menyokong UMNO. Pada masa yang sama bilangan mereka yang mahu menyertai UMNO tidak dapat menampung bilangan mereka yang keluar. Eksodus yang tidak terkawal seperti ini akan melumpuhkan UMNO dan jika dibiarkan berterusan, maka sememangnya UMNO akan pupus buat selama-lamanya
Pimpinan UMNO sekarang perlu membuat perubahan dengan segera. Bukan menunggu esok, lusa atau hanya bila pilihan raya menjelang tiba. Kita perlu kembali kepada prinsip utama kewujudan UMNO iaitu untuk membantu dan membela nasib orang Melayu.
Sifat mementingkan diri sendiri , mencari populariti , atau mengaut sebanyak wang yang mungkin ketika menjadi pemimpin UMNO di mana-mana peringkat sekalipun perlu dibuang selama-lamanya. Begitu juga sifat bermusuhan sesama sendiri, menabur fitnah dan memburukkan orang lain demi untuk mencapai kepentingan peribadi.
Sebut sahaja UMNO, perkara yang akan terlintas di fikiran rakyat ialah politik wang, projek , duit suapan, mementingkan kroni , kaum keluarga sendiri, sosial , tidak mempunyai pengetahuan agama, lebih sukakan hiburan daripada keagamaan, lebih mementingkan keseronokan duniawi, fitnah, cantas mencantas dan sebagainya.
Jika ini semua tidak ditangani segera, maka harapan kita untuk menawan semula Kuala Kedah khasnya dan seluruh negeri di Malaysia ini amnya akan menjadi seolah-olah angan-angan Mat Jenin semata-mata.
Kita perlu bermula sekarang. Jadikan kedatangan Maal Hijrah tidak lama lagi sebagai satu titik permulaan untuk kita berhijrah dari kejahilan dan kemungkaran kepada kebaikan dan kesempurnaan. Buangkan segala yang keruh, ambil semua yang jernih. Bersatulah kita semua demi agama, bangsa dan negara. Laksamana Hang Tuah pernah berkata : “ Takkan Melayu Hilang di Dunia” . Namun pastikan bangsa Melayu yang wujud itu kuat, gagah dan perkasa...
Friday, 26 December 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment